Monday, October 1, 2012

Kenali ajaran baru akhir zaman (Islam Liberal)

Kenali ajaran baru akhir zaman (Islam Liberal)

Dewasa ini isu mengenai Islam Liberal menjadi topik utama perbahasan dalam masyarakat oleh ahli akademik, para pemikir bebas, dan ahli agama. Ramai yang memberi hujah yang sangat bernas dan mempengaruhi masyarakat umum terutama kepada mereka yang langsung tidak mempunyai pengetahuan yang sebenar tentang Islam Liberal. Perkara ini sedikit sebanyak menjadi faktor penerimaan unsur-unsur Islam Liberal dalam masyarakat tanpa disedari.

Malah kehidupan kita hari ini dikelilingi oleh produk-produk Islam Liberal bermula dari cara berpakaian, cara bersosial sesama masyarakat hinggalah kepada cara beribadat. Lebih sukar lagi apabila masyarakat umum sudah menerima semua unsur Islam Liberal ini sebagai tatacara hidup ‘Islam’ tetapi hanya berdasarkan kefahaman akal mereka sahaja tanpa merujuk dua sumber pegangan Islam yang asas; al-Quran dan al-Sunnah.


Siapa Islam Liberal?

Rata-rata kita keliru dengan istilah Islam Liberal yang sebenarnya. ‘Liberal’ membawa maksud ‘pembebasan’ atau ‘pelonggaran’. Golongan Islam Liberal juga selalu mentafsir istilah ‘liberal’ sebagai ‘pencerahan’.

Pendukung Islam Liberal menganggap diri mereka sebagai penyelamat umat Islam susulan Islam itu sendiri membawa masalah kepada umatnya seperti undang-undang syari’ah yang kononnya menindas masyarakat menurut dakwaan mereka. Golongan ini juga sering menyalahkan sebahagian besar ulama’ kerana terlalu berpegang dengan al-Quran dan al-Sunnah.

Maka pembebasan atau pelonggaran yang ingin mereka lakukan adalah untuk jauh dari kefahaman Islam yang sebenar iaitu Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w sejak 1400 tahun dahulu. Pendukung Islam Liberal mendakwa perlunya reformasi dalam Islam supaya bersesuaian dengan keadaan semasa serta memenuhi semua keperluan dan kehendak manusia menurut peredaran zaman serta perkembangan akal fikiran.

Oleh sebab itu, banyak hujah mereka yang menggunakan ideologi-ideologi barat terutamanya, untuk menentang Islam secara diam-diam dan halus. Ideologi-ideologi ini hanyalah bersandarkan logikal akal semata-mata, maka ideologi ini mudah diterima oleh masyarakat yang kurang faham Islam sebenar dan longgar pegangan akidahnya.

Lebih menakutkan lagi, semua umat Islam berpotensi untuk menjadi pembawa Islam Liberal akibat mentafsir ajaran Islam mengikut kefahaman akal semata-mata tanpa merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah menerusi para alim ulama’ yang sahih. Tidak hairanlah jika ada di antara golongan Islam Liberal tidak akan mengaku mereka ini membawa fahaman Islam Liberal atas dasar mereka tidak mengenali antara satu sama lain walaupun fahaman yang dibawa adalah sama dari segi konsep asasnya.


Sejarah Liberal Agama

Sejarah bermulanya liberal dalam agama adalah di Eropah sewaktu cengkaman pihak gereja terhadap masyarakat di sekeliling mereka. Keilmuan golongan saintis ketika itu meningkat berdasarkan penemuan-penemuan baru yang kebanyakannya bercanggah dengan pegangan ajaran Kristian.

Maka pihak gereja menghalang sama sekali para ilmuan ini untuk mengesahkan penemuan mereka dan mereka ini dilabel sebagai pembawa ajaran sesat. Contohnya, pihak gereja sudah lama memegang kepercayaan bahawa bumi ini berbentuk rata dan mendatar. Apabila golongan saintis cuba membuat dakwaan bahawa bumi ini berbentuk sfera mengikut kajian yang telah dilakukan, golongan ini ditentang oleh pihak gereja atas alasan menentang fahaman Kristian secara terang-terangan. Maka terjadilah pergolakan sehingga Kristian berpecah kepada dua; Katolik dan Protestan. Golongan yang tidak bersetuju dengan pihak gereja ketika itu adalah Kristian Protestan.

Tragedi ini berlaku akibat ajaran Kristian itu sendiri telah diseleweng daripada ajaran Nabi Isa a.s oleh Tarsus yang juga dikenali sebagai Saint Paul atas kepentingan peribadi. Maka segala kepercayaan yang dipegang bukanlah suruhan Tuhan tetapi lebih kepada logikal akal manusia setempat dan semasa sahaja. Dengan itu ajaran Kristian telah berlawanan dengan hakikat kejadian alam dan perkembangan akal manusia.

Golongan saintis yang menentang pihak gereja sewaktu era pembaharuan di Eropah hanyalah ingin menyatakan kebenaran dan bukanlah menentang Kristian itu sendiri. Apabila kebenaran yang dibawa oleh golongan ilmuan berlawanan dengan kepalsuan yang dibawa oleh golongan agamawan, terjadilah pergolakan dan perpecahan.


Mengapa Islam Perlu diliberal?

Tidak ada langsung alasan yang kukuh golongan Islam Liberal untuk membebaskan ajaran Islam sekarang seperti apa yang telah berlaku dalam Kristian. Ajaran Islam sudah pun lengkap dan sempurna syari’atnya kepada umat manusia hingga ke Hari Kiamat. Ajaran Islam juga tidak menindas mana-mana pihak malah menjaga kesejahteraan manusia tanpa mengira umur, bangsa, adat, dan negara.

Golongan Islam Liberal juga mempunyai agenda tersembunyi dalam melonggarkan pegangan akidah umat Islam atas dasar dibayar dengan lumayan oleh beberapa pihak tertentu yang anti-Islam. Perencanaan ini dilakukan dengan teliti dan menggunakan media massa sebagai alat utama menyerang pemikiran umat Islam dalam merosakkan akidah serta memusnahkan pegangan terhadap al-Quran dan al-Sunnah.

Di Indonesia sudah wujud satu agama baru iaitu Islam Liberal yang didukungi oleh Jaringan Islam Liberal (JIL). Jaringan ini sangat berpengaruh dalam membahas isu-isu Islam Liberal sehingga garis yang jelas di antara Islam sebenar dan Islam yang sesat itu samar kelihatan. Situasi ini harus dijadikan iktibar dan amaran kepada umat Islam di Malaysia dalam menjaga kesucian dan ketulenan Islam itu sendiri hingga ke akhir hayat kita.


Saranan Golongan Islam Liberal

Golongan Islam Liberal membawa agenda merosakkan pegangan akidah umat Islam secara sedar atau pun tidak melalui media massa, program tertutup dan terbuka, drama atau filem yang disuntik idea liberalisasi Islam, dan sebagainya. Kebanyakan saranan golongan Islam Liberal ini bersifat halus dan sukar dikesan akibat sebahagian besar isu yang diketengahkan sudah sebati dalam masyarakat.

Antara saranan utama golongan ini adalah mempertikaikan pandangan serta kenyataan para alim ulama’ yang benar. Mungkin kita kurang sedar tentangan golongan Islam Liberal terhadap alim ulama’ akibat pendedahan media massa yang lebih menyebelahi mereka dan kurang menekankan pandangan serta kenyataan alim ulama’ terhadap sesuatu isu. Situasi ini sangat berbahaya di mana masyarakat sudah berani mengkritik mufti-mufti atas fatwa yang dikeluarkan dengan pelbagai alasan logikal semata-mata.

Golongan Islam Liberal juga mengajak masyarakat kebanyakan supaya berani memberi pendapat terhadap sesuatu isu agama mengikut pandangan sendiri tanpa merujuk kepada ahli agamawan yang berkeutamaan dalam membincangkan isu tersebut. Situasi ini jelas bilamana perbincangan dalam isu-isu agama seperti poligami dibincangkan dalam media massa dengan menjemput artis-artis serta ahli korporat sebagai panel undangan. Mengapa para alim ulama’ diketepikan? Ini kerana isu yang dibincangkan hanyalah untuk memenangi agenda golongan Islam Liberal ini.

Usah terkejut jika ada di antara golongan Islam Liberal ini mempertahankan hak golongan gay serta lesbian. Atas alasan kebebasan individu untuk memilih pasangan, golongan Islam Liberal membuka ruang kebebasan kepada umat Islam supaya melangkah setapak lagi menjauhi akidah Islam yang dipegang selama ini. Antara liberalis Islam yang lantang mempertahankan hak ini ialah Raquel Evita Saraswati, Koordinator Projek Ijtihad dibawah kelolaan Irshad Manji.

Di Malaysia, golongan Islam Liberal ini sangat rakus menghentam institusi Mahkamah Syari’ah atas alasan mengiktiraf Mahkamah Sivil sebagai jalan keluar menyelesaikan segala permasalahan undang-undang yang utama. Kebanyakan kes yang digunakan oleh golongan Islam Liberal untuk menentang institusi Mahkamah Syari’ah ialah perceraian, hak penjagaan anak, hak untuk murtad, penentangan terhadap poligami, dan sebagainya.


Mari Banteras Islam Liberal

Tidak ramai orang yang sanggup menumpukan tenaga dan usaha untuk membanteras Islam Liberal hingga ke akar umbi. Puncanya ialah kurangnya pendedahan terhadap penyelewengan Islam yang dilakukan secara halus dan licik. Malah gaya hidup masyarakat Islam di Malaysia sudah dibelenggu dengan unsur-unsur liberal tanpa kita sedari. Hasutan dan propaganda yang dibuat oleh golongan Islam Liberal ini juga sangat halus sehingga kawan sendiri juga berpotensi menjadi lawan.

Risiko membanteras Islam Liberal terlalu besar namun tidak ada yang lebih besar dari kekuasaan Yang Maha Esa. Semoga usaha membanteras ini mendapat keredhaan-Nya dan sentiasa dibekalkan dengan kekuatan yang tidak putus-putus.

Saya akan mendedahkan lagi penyelewengan akidah oleh Islam Liberal dalam tulisan-tulisan yang berikutnya. Diharapkan tulisan ini dapat disebarkan dan usaha yang kita lakukan sentiasa dinaungi rahmat dari Allah s.w.t, insya-Allah.

`Izzat Anwari bin Hasni
Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL)

 

No comments: