Tuesday, November 3, 2015

Anjing dan khinzir kenapa diharamkan dalam Islam?

SOALAN 1
Saya ingin bertanya mengenai binatang anjing dan khinzir yang dianggap najis di dalam Islam. Kenapakah hanya anjing dan khinzir yang dianggap najis dan tidak binatang lain?
Apakah kisah atau peristiwa yang menjadikan anjing dan khinzir sebagai binatang yang dianggap najis?
Kita dilarang menyentuh anjing dan khinzir tetapi ada pendapat yang mengatakan kita masih boleh menyentuh anjing apabila binatang tersebut berada di dalam keadaan kering. Adakah ini benar?
JAWAPAN
Di dalam al-Quran, Allah s.w.t. mengkategorikan khinzir sebagai binatang yang haram dimakan. Adapun anjing merupakan binatang yang membawa najis mughallazah (najis yang berat). Kedua-dua binatang ini adalah haram bagi umat Islam.
Namun perbahasan mengenai anjing agak panjang di kalangan ulama. Ini kerana ada ketikanya anjing boleh dimanfaatkan seperti mengajar memburu dan membantu di dalam menjalankan siasatan seperti mana anjing-anjing yang diajar oleh polis untuk mengawal keselamatan dan sebagainya.
Dalam pengharaman khinzir pula Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Baqarah: 173)
Di dalam memanfaatkan anjing Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Mereka menanyakan kepadamu: Apakah yang dihalalkan bagi mereka? Katakanlah: Dihalalkan bagimu yang baik-baik dan (buruan yang ditangkap) oleh binatang buas yang telah kamu ajar dengan melatihnya untuk berburu; kamu mengajarnya menurut apa yang Telah diajarkan Allah kepadamu [1]. Maka makanlah dari apa yang ditangkapnya untukmu [2], dan sebutlah nama Allah atas binatang buas itu (waktu melepaskannya) [3] dan bertawakallah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat cepat hisab-Nya. (al-Maidah: 4)
[1] Maksudnya: binatang buas itu dilatih menurut kepandaian yang diperoleh daripada pengalaman; fikiran manusia dan ilham daripada Allah tentang melatih binatang buas dan cara berburu.
[2] Iaitu: buruan yang ditangkap binatang buas semata-mata untukmu dan tidak dimakan sedikitpun oleh binatang itu.
[3] Maksudnya: pada waktu melepaskan binatang buas itu disebut nama Allah sebagai ganti binatang buruan itu sendiri menyebutkan waktu menerkam buruan.
Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Apabila anjing meminum air atau (menjilat) pada bekas air kepunyaan salah seorang di antara kamu, maka hendaklah bekas air itu dibasuh sebanyak tujuh kali (menyamak) salah satunya dengan tanah. (Riwayat Muslim)
Adapun pengharaman anjing dapat dilihat melalui hadis Rasulullah s.a.w. di atas. Walaupun pada asasnya hadis ini menyuruh kita membersihkan bekas yang dijilat anjing tetapi ia membawa maksud yang luas sehingga para ulama mengistinbatkan (mengeluarkan hukum) bahawa jika mulutnya dikira membawa najis apatah lagi tubuhnya, serta apa-apa sahaja yang keluar daripada anjing dihukum najis.
Mengikut pendapat al-Syafieyyah jika anjing itu kering ia boleh disentuh, jika basah tidak boleh. Ini kerana kemungkinan kuman menjadi aktif dan mudah berpindah ke tubuh badan manusia. Adapun mazhab al-Malikiyyah berpendapat yang haram pada anjing hanyalah apa-apa yang keluar dari mulutnya sahaja ini kerana hadis Nabi s.a.w. di atas menyuruh kita menyamak bekas yang terkena air liur anjing sahaja.
Suruhan Rasulullah supaya bekas yang terkena air liur anjing disamak kerana mulut adalah tempat anjing memakan pelbagai benda serta terdedah kepada kekotoran, maka dilihat bahawa yang membawa bahaya adalah apa-apa yang keluar dari mulut anjing dan bukannya badan anjing tersebut. Kedua-dua ayat di atas serta hadis Rasulullah s.a.w. jelas kepada kita bahawa kedua-dua binatang itu adalah haram dalam Islam.
Dari sudut bahayanya pula kita sedia maklum akan bahaya gigitan anjing. Kesan gigitan anjing, jika tidak dirawat segera akan memudaratkan manusia.
Ini terbukti dari kajian yang diterbitkan di dalam jurnal sains barat, di mana mereka telah mengkaji tentang bahaya anjing sebagai binatang peliharaan.
Baginda sendiri menyuruh supaya dibunuh anjing gila kerana penyakit merbahaya yang mungkin merebak dalam masyarakat akibat gigitannya.
Seperkara yang ingin ustaz kongsikan ialah, walaupun kita tidak menemui fakta sains dalam membuktikan kemudaratan khinzir dan anjing, kita wajib patuh kepada perintah Allah s.w.t. dan perintah nabi-Nya yang menyuruh kita meninggalkan perkara yang tidak baik bagi manusia serta apa-apa yang boleh mengganggu sistem kesihatannya.
Islam itu indah dan cantik suka kepada kecantikan dan kebaikan kepada seluruh penganutnya.

No comments: