Wednesday, September 26, 2012

Ajal Di Landasan .......

 

 

 


SUNGAI PETANI: "Suami saya membunyikan hon beberapa kali supaya mereka berdua berhenti kerana kereta api begitu hampir tapi mereka terus melintasi palang.

"Selepas itu, saya dengar kereta api turut membunyikan hon sebelum diikuti bunyi dentuman kuat dari arah landasan." Demikian kata N Nalini, 28, rakan kepada T Nalidi Dewi, 18, yang badannya putus dua selepas dirempuh kereta api dalam kejadian berhampiran stesen kereta api Jalan Sungai Petani ke Pekan Lama, di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 12.50 tengah malam itu, kakak Nalidi, T Rina, 20, yang membonceng motosikal sama parah apabila kaki kanannya patah dirempuh kereta api barang yang membawa muatan simen dari Bukit Keteri, Perlis ke Kuala Lumpur.

Akibat rempuhan itu, motosikal mangsa terperosok di bawah kereta api manakala Nalidi melambung ke tengah landasan lalu digilis sebelum diseret hampir 100 meter, menyebabkan tubuhnya putus dua dan kepalanya hancur.

Rina yang turut tercampak dan jatuh di tepi landasan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk rawatan lanjut.

Nalini berkata, sebelum kejadian dia bersama suaminya keluar dengan kedua-dua mangsa menaiki motosikal Honda EX5 secara berasingan dari Taman Kelisa Ria, di sini, untuk ke kuil Taman Pekan Baru kira-kira jam 8.30 malam.

"Kami kemudian pergi makan di kedai berhampiran dan sebaik melalui jalan ke Pekan Lama untuk pulang ke rumah lampu isyarat di lintasan kereta berbunyi manakala palang sudah dijatuhkan.

"Suami memberhentikan motosikal kami di belakang dua kereta di sebelah kiri, tetapi dua beradik itu tidak berhenti sebaliknya memintas kami berdua serta dua kereta yang berhenti di sebelah kanan.

"Saya lihat motosikal mereka menyelinap di bawah palang lintasan kereta api yang ditutup kerana ada sebuah motosikal lain di depan mereka turut berbuat demikian. "Motosikal di depan mereka berjaya melepasi lintasan sebelum kereta api tiba, tapi Nalidi dan kakaknya gagal," katanya yang ditemui di tempat kejadian, di sini, malam kelmarin.

Nalini berkata, selepas terdengar bunyi dentuman kuat dari arah landasan dia dan suaminya serta beberapa orang lain berlari ke arah landasan.

"Sebaik tiba saya melihat Rina terbaring di tepi landasan. Saya segera mencari Nalidi dan terkejut apabila menemui sebahagian tubuhnya berada di tengah landasan dan sebahagian lagi di tepi manakala motosikalnya tiada kerana diseret kereta api itu," katanya.

Nalini berkata, dua beradik itu bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Taman Ria Jaya, di sini, sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Kuala Muda, Superintendan Ong Aik Chang berkata, kejadian berlaku selepas mangsa menunggang motosikal bersama kakaknya melalui celah palang lintasan yang ditutup.

"Akibat digilis, mayat mangsa putus dua manakala kereta api terbabit hanya berhenti kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian dengan motosikal mangsa turut diseret bersama.

"Kakak mangsa yang maut terpelanting jatuh di tepi landasan dan cedera parah di kaki kanannya serta badan dikejarkan ke HSAH untuk rawatan lanjut," katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di tempat kejadian awal pagi semalam mendapati anggota polis terpaksa mengutip cebisan mayat mangsa yang berterabur di tengah landasan kereta api dan dihantar ke Jabatan Forensik HSAH.

__._,_.___

__,_._,___

 

No comments: